Perfumes

Di Sebalik TIMELESS: Tiga Wangian, Tiga Dimensi Masa
Oleh: Sarah Yahaya

Seiring kematangan industri wangian tempatan, semakin banyak jenama Malaysia tampil dengan identiti dan naratif yang tersendiri. Haruman hari ini bukan lagi sekadar pelengkap gaya, tetapi menjadi medium untuk menyampaikan emosi, memori dan karakter pemakainya.

Mengangkat pendekatan tersebut, High Notes Fragrance memperkenalkan TIMELESS, sebuah koleksi yang mengubah konsep masa menjadi sebuah pengalaman olfaktori. Menerusi tiga wangian yang mewakili masa lalu, masa kini dan masa hadapan, koleksi ini mengajak pemakai menikmati perjalanan emosi dan memori melalui setiap lapisan aroma

Mewakili masa lalu, Lost in Magnolia mengetengahkan keanggunan bunga magnolia yang lembut namun tetap mempunyai karakter. Komposisinya menggabungkan nota Earthy Accord, Living Magnolia in the Afternoon, Black Tea serta Oakwood CO₂ LMR, menghasilkan sebuah haruman yang membangkitkan rasa nostalgia. Antara keistimewaan wangian ini ialah penggunaan Oakwood CO₂ LMR, bahan berkualiti tinggi yang dihasilkan menerusi teknologi CO₂ extraction dan molecular distillation. Hasilnya ialah aroma kayu oak yang lebih bersih, semula jadi serta lebih hampir kepada karakter asalnya.

Beralih kepada masa kini, Golden Vanille meraikan keindahan menikmati setiap detik kehidupan. Wangian ini dibuka dengan Pink Pepper dan Red Apple, sebelum berkembang kepada gabungan Cashmere, White Flowers, Vanilla, Sandalwood dan Benzoin. Hasilnya ialah sebuah haruman yang creamy, hangat dan elegan, sesuai untuk mereka yang menggemari karakter yang sofistikated tetapi mudah didekati.

Keseimbangan antara kemanisan vanilla dan kelembutan cashmere menjadikan Golden Vanille sebuah komposisi yang versatil. Sama ada untuk dipakai pada waktu siang mahupun malam, ia memberikan rasa selesa dan mewah tanpa terasa berlebihan, sekali gus mencerminkan keindahan menikmati masa kini dengan penuh keyakinan.

Melengkapkan trilogi ini ialah Aqua Zyphra, representasi kepada masa hadapan. Dengan gabungan Bergamot, Marine Accord, Lotus, Rosemary dan Olibanum, wangian ini membawa karakter yang segar, bersih dan penuh keyakinan, seolah-olah menggambarkan semangat untuk melangkah ke arah permulaan baharu.

Setiap semburan menghadirkan rasa segar yang membangkitkan keyakinan, menjadikannya simbol kepada keberanian untuk melangkah ke hadapan tanpa melupakan perjalanan yang telah membentuk diri kita hari ini.

Konsep perjalanan masa ini turut diterjemahkan pada rekaan pembungkusan koleksi TIMELESS. Warna yang lebih gelap pada Lost in Magnolia beransur-ansur menjadi lebih cerah pada Golden Vanille dan akhirnya mencapai tona paling terang pada Aqua Zyphra, melambangkan perjalanan daripada kenangan silam menuju masa hadapan. Menariknya, apabila ketiga-tiga kotak diletakkan bersebelahan, ia membentuk sebuah visual yang bersambung sebagai simbol kesinambungan masa.

Dengan gabungan konsep yang jelas, komposisi haruman yang teliti serta rekaan visual yang saling melengkapi, TIMELESS memperlihatkan bagaimana sesebuah koleksi wangian boleh dibangunkan berasaskan sebuah naratif yang menyeluruh.

Dalam dunia yang sentiasa bergerak pantas, TIMELESS mengingatkan bahawa setiap fasa kehidupan mempunyai keindahannya yang tersendiri. Sama ada mengimbau kenangan, menghargai masa kini atau menantikan hari esok, setiap semburan menjadi satu peringatan bahawa haruman juga mampu merakam perjalanan masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *